Tips Keluarga Bahagia

by

Belakang Parang akui, setiap individu menginginkan sebuah institusi keluarga yang harmoni dan bahagia. Jika keluarga kita hidup dalam keadaan harmoni dan bahagia, maka kesempurnaan individu yang menghuni di dalam keluarga tersebut, dapat dimiliki.

Kali ini, atas permintaan warga kerja Sungguh.com, Belakang Parang akan kongsikan, Tips Keluarga Bahagia yang disimpulkan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood iaitu Pendakwah Popular yang tidak asing lagi di Malaysia. Jika di Malaysia, Ustazah Siti Nor Bahyah digelar ‘Pendakwah Selebriti’. Sesuai sangat dengan gelaran itu kerana beliau sering muncul di TV sebagai panel jemputan Forum Perdana TV1, Al-Kuliyyah, Motivasi Pagi, Al-Hidayah, Wanita Hari Ini, Malaysia Hari Ini (MHI) TV3, Halaqah TV9 dan sekarang aktif mengacarakan program yang diminati ramai iaitu rancangan Semanis Kurma TV9 bersama suaminya Ustaz Wan Akashah Bin Wan Abdul Hamid. Cara dan tips yang diberikan melalui program-program seperti ‘Semanis Kurma’ amat memberangsangkan dan dapat menarik minat pasangan yang baru atau telah lama mendirikan rumahtangga untuk mengikutinya.

Tips Keluarga Bahagia:

1. Puji – Setiap pasangan perlu saling memuji antara satu sama lain dalam semua aspek kehidupan seperti masakan atau ucapan terima kasih apabila diberi pertolongan. Yang Belakang Parang suka betul …. pujilah pasangan tu cukup-cukup. Takde had langsung Mak Jah!

2. Peluk – Pasangan suami isteri hendaklah selalu peluk memeluk antara satu sama lain sekerap mungkin setiap hari kerana pelukan itu adalah belaian penuh kasih sayang. Yang ni Belakang Parang sungguh suka! Kalau dah sah suami isteri, apa nak malunya peluk-peluk. Banyak kelebihan peluk ni tau. Kalau nak cerita panjang lebar, nanti Belakang Parang buka entri baru tajuk ‘Peluk’ ya.

3. Penghargaan – Amalan memberi hadiah boleh menambah kasih sayang. Apalah salahnya Bang Toyyib oi, sekali sekala, belikan isteri sekuntum mawar merah. Yang isteri tu pulak, kalau suami kaki games, belikanlah dia xbox 360 gituu…Tapi    Bang Toyyib jangan main game tu lama sangat tau, nanti isteri penat tunggu bang Toyyib oi..

4. Perhatian – Mesti diambil berat kerana kekurangan perhatian boleh mengakibatkan pasangan terasa diabaikan. Sungguh penting ni ya Mak Jemah… Kalau kurang perhatian kepada suami, silap-silap suami ungkap  statement ‘Ana kahwin 3’. Masa tu Mak Jemah jangan nak buat mata terkebil-kebil pulak ya.

5. Persefahaman – Memerlukan pasangan lebih bertolak ansur dan memahami kerjaya masing-masing. Yang ini sungguh serius. Rumahtangga yang dibina pasti penuh cabaran dan dugaan, jadi lebih kuranglah sikit. Masing-masing ketepikan ego dan cuba sedaya upaya memahami pasangan masing-masing. Ye Belakang Parang tau, itu kerja susah. Jadi berusaha dan cuba!

6. Pergaulan – Pasangan suami isteri mesti menjaga pergaulan masing-masing dengan orang lain bagi mengelakkannya daripada melampaui batas, menimbulkan cemburu seterusnya membawa kepada pembabitan orang ketiga. Belakang Parang paham betul yang ni, lagi-lagi pergaulan online Mak Timah, yang lelaki tu jangan stalk bini orang dan yang wanita jangan selfie rapat2 dengan suami orang…. boleh mendatangkan fitnah tu, betul tak?!

7. Percutian – Perlu merancang percutian berdua-duaan dengan pasangannya di tempat yang jauh daripada kesibukan dan kehidupan rutin. Bercanda di pasiran pantai, kita bersama memadu asmara, cinta setia…  Ceh, Belakang Parang siap boleh bagi idea apa korang nak buat bila bercuti berdua-duaan tu nanti.

8. Permohonan – Doa kepada Allah supaya merapatkan kasih sayang antara pasangan suami isteri serta dijauhi daripada godaan kemewahan dan keseronokan dunia. Enjoy-enjoy juga, kuasa yang maha Esa jangan dipertikaikan. Berdoalah     semoga  rumahtangga yang dibina diberkati oleh yang maha Esa senantiasa.

 

Dengan adanya tips-tips berikut, Belakang Parang dan sungguh.com, Singapore’s Malay Entertainment Portal harap sangat supaya kita semua dapat menjana keluarga bahagia bersama-sama. Jangan terlupa dan terlambat untuk mengikat hati pasangan masing-masing. Demi kebaikan keluarga kita!