AARON DAN ERWIN DAH OK? APA KATA SUHAIMI YUSOF, SYARIF SLEEQ DAN HISYAM HAMID…

by

Sumber Gambar dari Instagram Aaron Aziz, Erwin Dawson dan Hisyam Hamid

Memang kita semua mengenali pelakon Singapura Aaron Aziz, 39 tahun, antara artis yang berjaya berhijrah ke Malaysia dan memenangi pelbagai anugerah. Boleh dikatakan, kerja keras Aaron di sana harus disegani oleh artis-artis baru Singapura yang baru menempah nama di Malaysia.

Bagi yang masih belum tahu…

Minggu lepas, industri hiburan Melayu telah dikejutkan dengan teguran Aaron Aziz kepada Erwin Dawson di Instagram tentang suatu kenyataan yang Erwin kongsikan kepada media di Malaysia. Tajuk akhbar yang dikeluarkan sebuah media online mengenai Erwin ialah, “Erwin Dawson Mahu Hijrah Ke Malaysia Kerana Islam”.

Sungguh! memahami mengapa warga Singapura terkejut dengan kenyataan Erwin kerana ia amat sensitif di kalangan Melayu/Islam Singapura.

Sungguh! telah memerhatikan dan membaca pelbagai akhbar yang hanya melaporkan tentang cara teguran Aaron memberikan pandangan serta nasihatnya secara terbuka terhadap Erwin. Tetapi apakah tujuan sebenar teguran secara umum ini berlaku? Isu ini juga menjadi begitu hangat apabila teguran dan nasihat itu dibalas oleh Erwin dengan cara yang sama, melalui Instagram masing-masing secara terbuka.

Erwin telah memberi penjelasan secara terperinci di Facebook serta kepada kami di Sungguh! mengapa beliau rasakan apa yang dilaporkan hanya secebis daripada apa beliau kongsikan kepada media. Sungguh! memahami benar bahawa apa yang dilaporkan secara bertulis mempunyai hadnya tersendiri. Sudah pasti inti dan makna yang ingin disampaikan juga terhad apatah lagi dengan tajuk artikel yang begitu kontroversial jika tidak ditangani dengan baik.

Selain mencari rezeki, Erwin rasakan sesuatu yang “refreshing” di Malaysia…

Dalam temubual kami bersama Erwin menerusi telefon, beliau menerangkan bahawa secara kebetulan, dalam pencarian rezeki serta peluang di Malaysia untuk mengembangkan sayapnya sebagai seorang artis dan pelakon, Erwin merasakan pengalaman mengamalkan gaya hidup seorang Muslim di Malaysia juga sesuatu suasana yang segar dan begitu mengagumkan juga.

Menurut Erwin lagi, perbandingan ini adalah satu pujian dan tiada niatnya untuk menjatuhkan ataupun memalukan umat Islam di Singapura. Erwin juga jelaskan jika mana-mana pelancong di antara kita berhijrah ke negara lain (bukan sahaja di Malaysia atau Singapura), pasti akan membuat pembandingan tentang cara Islam dipraktikan di mana-mana negara tersebut, terutama sekali jika ia sesuatu yang positif.

Dalam ketegangan antara Aaron dan Erwin di media sosial, datang seorang artis senior yang telah hadir membantu.

Suhaimi Yusof bagaikan “Abang Sado” kepada Erwin Dawson…

Suhaimi Yusof, juga seorang artis yang tidak asing lagi, berjaya mengembangkan sayapnya ke Malaysia dengan lawak jenakanya. Beliau telah hadir memberi nasihat kepada Erwin Dawson secara berdepan.

Malah, nasihat itu diberikan kepadanya setelah Suhaimi memuat naik sebuah post memberi perbandingan mengenai cara media dan wartawan mengendalikan sesuatu topik di Facebook.

Suhaimi sempat bertemu Erwin di Kota Damansara, The Curve, 21 Julai yang lalu. Tapi apa yang membuat Suhaimi hadir disamping Erwin setelah situasi menjadi begitu kontroversial antara Aaron dan Erwin?

 

Sumber Gambar dari Suhaimi Yusof

 

“Saya teringat ketika usia saya seperti Erwin dan ada banyak kesilapan yang saya lakukan ketika itu kerana baru berjinak-jinak dengan dunia media. Alangkah indahnya ketika saya dilanda masalah dan berdepan dengan maklum balas agresif dari orang ramai ketika itu, ada seorang “Abang Sado” datang membela dan beri tunjuk ajar cara menangani isu tersebut…

Tapi malangnya, tak ada. Jadi saya fikir, kalau dulu saya begitu, mungkin hari ini saya kena jadi “Abang Sado” tu lerrr… Harap Erwin akan lakukan sama pada artis muda lain di masa hadapan. Seronok bila kita ada sistem sokongan yang kukuh…” kongsi Suhaimi.

Sumber Gambar dari Suhaimi Yusof

 

Tiada siapa yang tahu nasihat Suhaimi kepada Erwin. Tetapi kami berjaya bertanyakan kepada Suhaimi jika nasihat Suhaimi ini rahsia kah…

Tak ada formula rahsia. Benda yang selalu kita ingat-mengingati dan ada juga selalu yang kita terlupa. Pertama ialah rendah diri, kedua mesti suka berkawan, ketiga, belajar cara berfikir seperti wartawan dan akhir sekali, lain padang, lain berlalang – persada media Singapura dan Malaysia nampak sama tapi tidak serupa, mesti faham budaya, bahasa, kebiasaan dan jangan sesekali meletakkan standard tempat tinggal kita ke atas orang lain. Masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang rimau… lari!!!”

Sempat si Suhaimi berseloroh… Mudah nasihatnya, kan?

 

Sumber Gambar dari Suhaimi Yusof

 

Aaron dan Erwin sudah memberi penjelasan kepada satu sama lain…

Meskipun Krew Sungguh sudah cuba mendapatkan penjelasan dari Aaron, Diyana Halik, selaku isteri dan pengurusnya, telah memaklumkan kepada kami bahawa Aaron sudah menyampaikan mesejnya secara jelas di Instagram dan tidak mahu membuat rumusan tambahan.

Walaupun tidak mendapat kenyataan dari Aaron, Krew Sungguh amat senang dengan abang-abang artis kita yang sudah pun bersefahaman. Kami amat lega apabila Erwin mengkhabarkan bahawa beliau dan Erwin telah memberi penjelasan mereka kepada satu sama lain. Erwin dan Aaron pula sudah bersepakat untuk tidak mendedahkan inti berbincangan mereka atas sebab-sebab tersendiri.

Apa kata Syarif Sleeq dan Hisyam Hamid…

Selain Suhaimi Yusof, kami juga telah mendapatkan pandangan dari dua artis yang telah berhijrah ke Malaysia yang berjaya kami hubungi. Krew Sungguh tabik dengan kejayaan Ahmad Syarifullah dalam kumpulan Sleeq dan Hisyam Hasyim yang mereka bina setakat ini.

Kami pun bertanyakan pendapat mereka sekiranya artis-artis Singapura yang berhijrah ke Malaysia ini memerlukan sistem sokongan seperti yang dikongsikan oleh Suhaimi.

Menurut Syarif, “Sistem sokongan ini tidak akan terbina secara sendiri jika tidak dimulakan dengan usaha sendiri. Sifat berendah diri dalam diri begitu penting untuk menjejaki kerjaya di Malaysia kerana asal usul kita tetap di Singapura. Kita tidak mahu sampai isunya menjadi besar dan tidak dapat dikawal.”

Syarif berkongsi lagi, “Sistem sokongan padu di kalangan artis Singapura boleh diperkukuhan tetapi harus merentasi sedikit hambatan dari segi kesibukan kerjaya masing-masing, kesuntukan untuk berinteraksi secara berdepan dan juga pengurusan keluarga memakan jadual bukan sahaja hidup seorang artis, malah manusia biasa juga, harus diambil kira. Sekiranya mereka bertemu di set pengambaran, pastinya artis-artis ini akan berbincang dan memberi nasihat tentang pelbagai hal.”

Selain itu, Hisyam Hamid juga telah memberikan nasihat dan pandangannya tentang isu seperti ini.

“Ia adalah tanggungjawab seseorang artis untuk maintain cara menangani sebarang isu, tidak kira di media sosial atau mana-mana media sekali pun. Jangan sampai kerana mulut badan binasa dan sebagai artis, kita tidak boleh cepat melatah kerana kita sering diperhatikan oleh ramai pihak, tidak kira negara mana.”

Tambah Hisyam lagi, “Setiap artis itu boleh take their own time untuk memberikan jawapan untuk sebarang soalan di mana-mana platform media. Tidak perlu kelam-kabut. Artis Singapura yang inginkan kerjaya sebagai penghibur di Malaysia memerlukan kesabaran dan jika benar ingin mempelajari sesuatu, harus bermula dengan diri sendiri dan mencari sumber dari yang lebih berpengalaman.

Peminat dan penonton tidak lihat kesusahan kita bertungkus-lumus menempah nama di Malaysia. Mereka hanya lihat saat kita berjaya dan untuk memberi kesan yang positif, kita harus bersikap rendah diri. ”

Kami amat menghargai bahawa artis-artis Singapura ini berkongsi pendapat bersama kami. Krew Sungguh hanya inginkan artis-artis Singapura bersatu hati dalam pencarian rezeki di negara jiran. Kita juga tidak mahu kerana nila setitik, rosak sebelanga.

Dengan sikap Aaron yang tegas memberikan pandangan, kami pasti niatnya hanya inginkan yang terbaik buat rakan-rakan artis yang sama-sama mencari rezeki di Malaysia mahupun Singapura. Biasalah, kalau abang-abang bertegur satu sama lain, mungkin kasar bunyinya.

Ini juga dipersetujui Suhaimi Yusof, “Mungkin ada melihat cara Aaron menegur kasar tapi bagi saya tidak sebab kalau kita faham gaya perbualan sesetengah artis di sana, memang ini cara biasa. Penggunaan “Aku” dan “Kau” menandakan hubungan rapat. Tapi kebanyakan Singapura melihat ini sebagar kasar sebab jarang terdedah pada style begini.”

Dari Krew Sungguh, kami berharap para peminat Aaron dan Erwin juga bersatu hati untuk terus menyokong kedua-dua artis yang kini telah meleraikan perbezaan di antara mereka. Kalau tidak kerana peminat, Aaron dan Erwin juga tidak akan berjaya, bukan? Ayuh, kita sama-sama berdoa akan kejayaan mereka masing-masing dan berhati-hati di media sosial, ya!