Almy Nadia Tidak Berlakon Demi Anak

by

Badan dah kurus ke belum? Itulah pertanyaan producer di Malaysia kepada Almy Nadia mengenai berat badannya. Berat badan pon jadi isu ye? Belakang Parang nak khabar ni. Kecoh tau kat Malaysia tu, ada ke patut dikatanya Almy Nadia sejak beranak dah gemuk, tak pandai jaga badan macam Cik Ta dan tak pandai jaga imej. Muka pon dah tak cantik dan berseri lagi macam anak dara dulu. Ish, ish, ish, Eh tak baik tau korang. Yang bercakap tu pon Belakang Parang tengok 2 kali 5 jugak. Ada hati nak mengata orang. Ye tak?  Cheh!

Bila dah macam tu, Almy Nadia pon ambil plan B, untuk jadi suri rumah dan tidak berlakon. Ye lah, tunggu-tunggu tawaran berlakon, tapi tak muncul-muncul. Mungkin rezeki Almy Nadia bakal datang lepas ni, lebih meletops, lebih sensasi! Tunggu Je lah Mak Jah ye?

Nampaknya, Almy Nadia mengakui seronok menjadi suri rumah tangga sepenuh masa. Almy atau nama sebenarnya, Almy Nadia Aminuddin Shah menjalankan tugas itu sepenuhnya sejak melahirkan anak pertamanya, Nur Afrina Ariana pada 16 Februari 2015.

“Jujurnya, menjadi suri rumah sangat memenatkan malah sebenarnya menguruskan rumah tangga lebih meletihkan berbanding bekerja di lokasi penggambaran. Setiap hari, asal celik mata pasti ada saja kerja yang mahu dibuat dan ia seperti tidak pernah habis.”

“Kadang-kadang, makan pun terpaksa tangguh kerana ada benda yang mahu dibuat apatah lagi mahu keluar pergi bercuti, memang tidak sempat,” katanya sambil tertawa.

Malah, pelakon filem Dunia Baru The Movie ini juga tidak mendapatkan sebarang khidmat pembantu rumah.

“Saya tidak mahu membiasakan diri dengan membiarkan semua kerja termasuk makan pakai dan anak-anak diuruskan orang gaji. Lagipun saya bukanlah orang senang. Walaupun bergelar artis, kami sama saja seperti orang biasa,” katanya.

Dalam kesibukan sebagai suri rumah tangga sepenuh masa, pelakon berusia 30 tahun ini mengakui semakin ligat dalam bidang perniagaan.

“Sebenarnya, saya memang sangat aktif berniaga sejak bersalin lagi. Walaupun terpaksa berhujan panas di tapak karnival, saya tetap seronok melakukannya. Malah, saya puas. Kadang-kadang, apabila saya berniaga dan jumpa orang ramai, saya jadi lupa kerjaya lakonan,” katanya.

Belakang Parang teropong punya teropong, selain berniaga di tapak-tapak karnival, Almy kini sedang berjinak-jinak menguruskan perniagaan menjual pakaian kurta lelaki di bawah jenama Fizz Fairuz.

“Saya juga akan bantu suami mengendalikan Karnival Joget Pahang sempena Tahun Melawat Pahang 2016,” katanya.

Dalam perkembangan lain, pelakon filem Nana Tanjung ini berserah kepada masa dan keadaan untuk kembali meneruskan karier lakonannya selepas hampir dua tahun berehat. Hmm, elok benarlah tu ye Mak Senah oi.

“Tengoklah keadaan macam mana nanti. Kalau masa mengizinkan, mungkin dalam masa setahun atau dua tahun lagi. Lagipun, saya masih belum bersedia biarkan anak membesar jauh daripada mata, malah suami juga memahami keadaan saya,” katanya.

Belakang Parang dan satu-satunya majalah hiburan online Singapura untuk seisi keluarga sungguh.com mengucapkan Semoga maju jaya dan berbahagia di samping keluarga! Gambar: mstar.com

 

Almy Nadia