Filem Lakonan Namron, Remy Ishak dan Nadia Nisaa Bakal Ditayangkan di Singapura!

by

Sungguh dan beberapa pihak media telah pun dijemput menghadiri tayangan pranonton filem Redha semalam di pawagam “The Projector” anjuran Persatuan Filem Melayu Singapura (SMFS). Sebuah sidang media juga diadakan sesudah tayangan tersebut dan kami berpeluang mendapatkan penjelasan dari Pengarah dan Penerbit filem tersebut iaitu Tunku Mona Riza dan Haris Sulong mengenai objektif terbitan filem ini.

Poster

Filem arahan Tunku Mona Riza ini merupakan karya asal beliau yang diilhamkan berdasarkan kisah benar. Beliau mendapat idea mencipta filem mengenai Autisme apabila bertemu rakan lama yang mempunyai anak yang menghidapi Autisme. Dari situ Tunku Mona Riza memulakan kajian dan rancangan untuk menerbitkan dan mengarah filem yang dapat menjadikan suara buat keluarga- keluarga yang menghadapi situasi yang sama seperti rakannya.

IMG_9697
“Cabaran terbesar saya sebagai seorang pengarah ialah untuk memaparkan Autisme dengan sejujur-jujurnya kerana filem ini adalah suara keluarga yang mempunyai anak Autisme. Jika saya memaparkan perkara yang salah, saya akan mengguris emosi beribu orang di luar sana,” ujar Tunku Mona Riza tentang cabaran yang dilaluinya.

IMG_9641

Pelakon cilik dan remaja yang memainkan watak “Daniel” dalam filem Redha iaitu Izzy Reef dan Harith Haziq, turut turun padang bagi menyokong tayangan pranonton yang dianjurkan Persatuan Filem Melayu Singapura.

007008011

Filem yang menyentuh hati ini merupakan filem Autisme pertama terbitan Malaysia yang memberi banyak pengajaran di mana ia dapat membuka hati dan mata para penonton tentang Autisme. Terdapat banyak nilai kekeluargaan, kasih sayang, simpati dan sifat pengorbanan yang dapat dipelajari melalui watak-watak filem ini. Jangan lepaskan peluang untuk menonton Redha, sebuah filem yang tulus yang boleh membuat anda menitiskan airmata.

Filem Redha telah ditayangkan di Malaysia pada bulan April tahun ini tetapi oleh kerana sedikit isu yang dialami dengan pihak penerbitan, ia tidak dapat ditayangkan di Singapura. Akan tetapi, filem ini mendapat perhatian dan sambutan hangat di media sosial sehingga Persatuan Filem Melayu Singapura mendapat begitu banyak permintaan untuk membawa tayangan filem Redha ke Singapura. Dengan persetujuan Tunku Mona dan Haris Sulong, mereka berjaya membawa filem ini ke Singapura dan tayangan awam yang hanya akan berlangsung dari 29 hingga 31 julai 2016 di pawagam The Projector, Golden Mile Tower.

Sungguh tabik kerja keras Tunku Mona dan Haris Sulong beserta kumpulan terbitan mereka yang telah bertungkus-lumus menjayakan filem yang memberikan kesan mendalam kepada masyarakat kita. Tidak lupa juga usaha murni Persatuan Filem Melayu Singapura yang menjayakan tayangan filem Redha di Singapura sekaligus membantu mengumpulkan dana buat Persatuan Autisme Singapura. Sebahagian dari keuntungan penjualan tiket filem Redha akan diberikan kepada Persatuan Autisme Singapura.

Dengan filem seperti ini, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan kesedaran tentang wujudnya autisme dalam masyarakat kita dan memberi pemahaman yang mendalam tentang apa yang dilalui kanak-kanak autisme. Sungguh berharap lebih banyak filem sebegini akan diterbitkan untuk menjadi pengajaran buat masyarakat kita.

Filem lakonon Namron, June Lojong, Nadia Nisaa dan Remy Ishak ini bakal ditayangkan buat 3 hari berturut-turut tidak lama lagi. Harga tiket ke tayangan filem Redha adalah $20 setiap satu. Anda boleh menempah tiket di lelaman tersebut:
https://www.eventbrite.com/e/redha-gala-premiere-fundraising-event-tickets-25898482057