Classified Cafe: Restoran HALAL Anda Mesti Cuba di Jalan Sultan.

by

Anda pernah dengar tentang sebuah Cafe yang terletak di The Sultan Hotel? Minggu lalu, Sungguh! telahpun berkunjung ke restoran yang dinamakan Classified Cafe untuk mencuba hidangan-hidangan istimewa yang tersedia di sini.

Terletak di 101 Jalan Sultan, Classified Cafe merupakan tempat makan khas di dalam The Sultan Hotel yang mempunyai suasana dalaman yang aman, bersih dan selesa. Sungguh! amat tertarik dengan rekaan dalaman cafe ini kerana ia dihiasi dengan perhiasan tanam-tanaman yang segar dan cantik dipandang.

Sungguh! pula sempat mencuba 7 jenis hidangan istimewa yang tersedia di Cafe ini, dan merupakan ‘signature dish’ yang anda tidak boleh tak cuba!

1. Chili Crab Pasta

IMG_9917

Hidangan istimewa pertama yang Sungguh! ingin syorkan kepada anda semua adalah Chili Crab Pasta mereka. Dihiasi dengan tempurung ketam yang lembut atau lebih dikenali dengan panggilan ‘soft shell crab’, pasta ini adalah di antara kegemaran pelanggan di cafe ini kerana rasanya yang manis berserta tempurung ketam lembut, membuatnya lebih enak. Sosnya tidak begitu pekat dan isi daging ketamnya telah diaduk dan disertakan juga. Asas bagi sos pasta ini ialah dari jus tomato. Rasa manisnya diperolehi dari bahan tomato tulen dan hanya secubit rasa pedas membantu anda menghabiskan hidangan ini dan terelak juga rasa muak. Hidangan ini sesuai bagi mereka yang ingin cuba makanan laut tetapi tidak begitu rajin untuk mengopek kulit dan mengetuk hancur tempurung ketam itu. Kata makan di hotel… jadi semuanya mesti ‘maintain’…

2. Prawn Aglio Olio

IMG_9759

Kami mendapat tahu bahawa hidangan ini adalah kegemaran pelanggan setiap kali mereka menjamu selera di Classified Cafe. Prawn Aglio Olio merupakan hidangan yang terkenal merata Singapura. Walaubagaimana pun, anda harus mencuba hidangan ini di Classified Cafe kerana udang harimau mereka yang segar ditumis dengan minyak zaitun, cili padi dan bawang putih yang memberikannya rasa yang berbeza dari Prawn Aglio Olio di cafe atau restoran yang lain. Sudah semestinya perbezaannya adalah cara memasaknya kerana setiap cef tentu mempunyai resipi tersendiri untuk memikat deria rasa pelanggan mereka, betul tak? Apa yang menarik ialah mereka tiada campuran MSG – bermakna, aroma, rasa udang dan perisa pasta ini semuanya asli dari jus udang dan potongan bawang putih, dicincang halus yang mereka sertakan dalam masakan mereka. Udangnya mudah digigit dan empuk dan berjus, sejurus anda membuat gigitan yang pertama. Jika anda inginkan keaslian rasa Pasta Aglio Olio Udang. Cuba dari Classified Cafe!

3. Sous Vide Beef Cheek

IMG_9930

Hidangan ini pula antara yang jarang boleh didapati di restoran atau cafe halal di Singapura. Dinamakan Sous Vide Beef Cheek, hidangan istimewa ini dihiasi dengan lobak merah, brokoli dan kentang ‘mashed’. Sous Vide Beek Cheeks mempunyai rasa yang cukup istimewa kerana dagingnya yang teramat lembut yang benar-benar cair dalam mulut anda (WHOA!). Cef di Classified Cafe mempunyai cara memasak hidangan dengan menggunakan mesin Sous Vide dalam istilah bahasa Peracis, atau ‘dibawah vakum’ dengan suhu yang sangat spesifik iaitu 72.2 darjah, selama 12 jam. Meskipun jangka masanya yang sangat lama, hasilnya memang tidak akan membuat anda menyesal jika anda memahami setiap rasa daging yang anda pernah cuba sebelum ini. Tetapi jangan risau, masakan selama 12 jam ini sudah mereka sediakan terlebih dahulu untuk jamuan orang ramai. Kalau anda berminat untuk mencuba daging yang lembut dan enak ini, jangan lupa memesan Sous Vide Beef Cheeks ketika berhidang di sini. Tak rugi tau!

4. Prawn & Avocado Salad

IMG_9777

Jika anda seorang yang gemarkan pencuci mulut sebelum menjamu selera hidangan utama, anda harus mencuba Prawn & Avocado Salad di Classified Cafe. Sungguh! pasti mereka yang tidak gemarkan salad tentu akan sukakan hidangan yang cukup berkhasiat ini. Salad ini dicampur dengan udang, buah-buahan seperti tomato ceri, laici, avokado dan anggur. Sosnya? Sos Laici dengan campuran minyak Zaitun dan rempah ratus yang sangat menyegarkan deria rasa anda. Anda tidak akan berasa bersalah jika menghabiskan salad ini tanpa berkongsi dengan orang lain. Tapi janganlah macam gitu, ya…. Kongsi, kongsi, kongsi!

5.Turkey Ham Garlic Cream Pizza

IMG_9950

Mereka yang gemar dengan piza harus mencuba Garlic Cream Turkey Ham Pizza mereka. Ia juga adalah di antara piza yang digemari pelanggan Classified Cafe. Walaupun kelihatan amat ‘simple’, gabungan bahan-bahan dan tekstur roti yang rangup membuatkannya unik dan penuh dengan gabungan-gabungan perisa yang membuat anda ingin ambil potongan selanjutnya. Buah Zaitun besar, bulat, dan gebu benar-benar genapkan rasa puas anda nikmati piza ini. Sedapnya, ya ampun!

6. Classified Platter


IMG_9809

Hidangan yang seterusnya pula adalah yang paling istimewa yang dinamakan Classified Platter. Kami mendapat tahu bahawa Classified Platter ini hidangan sampingan mereka yang telah dijadikan sebagai satu Platter untuk dinikmati para pelanggan. Platter ini mengandungi daging wagyu, roulade ayam dan sotong goreng yang disaluti tepung rangup. Classified Platter ini sesuai bagi mereka yang lebih suka mencuba hidangan sampingan yang dihidang dalam satu pinggan kerana ia mengandungi 3 macam pilihan yang berbeza. Kesemua daging-daging ini begitu empuk dan memang tidak dinafikan bahawa daging wagyu ini berjaya menawan hati kami semua di Sungguh! Kami juga sempat menjeling para pelanggan yang berjiran dengan kami untuk melihat reaksi setiap kali mereka mencuit sesudu dari daging ini. Wajah mereka dilihat tidak terkata! Cair dimulut rasa daging dan rangup rasa kacang yang disaluti di daging tersebut. Sotong gorengnya tidak kenyal dan mudah digigit dan ayamnya pula terasa bagaikan bunga api bermain di lubuk deria kami. Platter yang sempurna…. Bon Appétit!

7. Lava Cake

IMG_9849

Terakhir sekali, Sungguh! ingin memperkenalkan kek lava Classified Cafe yang dibuat dengan resipi mereka tersendiri. Ia kaya dengan rasa coklat yang pekat disertakan dengan aiskrim vanila yang menambahkan lagi kelazatnya! Anda boleh lihat coklat yang cair di pertengahan kek ini dan ianya mengalir dengan deras apabila dipotong. Tekstur di luaran kek ini juga amat lembut dan mudah untuk dikunya dan dinikmati mereka yang mencubanya. Kalau tidak mencuba, menyesal! Tiada kata-kata lain yang boleh kami berikan kerana inilah hidangan yang paling susuai untuk mengakhiri jamuan selera anda di Classified Cafe.

Selepas berkunjung dan mencuba pelbagai jenis hidangan Classified Cafe, Sungguh! syorkan anda cuba berhidang di sini. Tempatnya mudah dicari kerana hanya perlu berjalan kurang dari 10 minit dari stesen MRT Bugis dan bersebelahan Madrasah Alsagoff. Ia juga berdekatan Masjid Sultan bagi mereka yang ingin menunaikan solat – hanya perlu berjalan 5 minit sahaja! Sangat strategik lokasinya! Layanan ramah dari pekerja di sini juga akan dapat menghidupkan lagi hari anda ketika berhidang. Kami berharap anda terhibur apabila menikmati hidangan di cafe ini dan jangan lupa tag kami #Sungguhmmmdap jika anda cuba!

RUMUSAN: 6 dari 5 mata! TERLALU ‘BEST’!