7 Cara ARTBOX Singapura Boleh Diperbaiki…

by

_MG_7060

Mesti anda semua pernah dengar tentang antara pasar malam terbesar (dan macam ter-hip) yang telah diadakan di Singapura sejak minggu lalu, kan? Sudah tentu acara yang tersebar luas di media sosial ini telah mendapat perhatian ramai orang Singapura. Akan tetapi, Sungguh! juga telah lihat dan terdengar rintihan orang ramai mengenai perkara-perkara yang kurang memuaskan mengenainya. Ini lebih-lebih lagi asal usul konsep ARTBOX ini diilhamkan dari Thailand.

Antara yang membuat para pengunjung kurang selesa ialah apabila mereka terpaksa berdepan dengan cuaca yang tidak begitu baik dan laluan jalan yang agak sempit. Juga, makanan yang tersedia di ARTBOX pula agak mahal. Walaubagaimanapun, kali ini Sungguh! tidak akan mengkritik acara ini, malah kami nak sarankan beberapa cara untuk memperbaiki acara ini. Manalah tahu pihak ARTBOX boleh mengambil saranan-saranan ini bagi acara-acara yang akan datang?

1. Adakan Acara ARTBOX Untuk Jangka Masa Yang Lebih Lama

Acara in telah dianjurkan selama tiga hari; Jumaat hingga Ahad dan diadakan untuk dua minggu berasingan sahaja. Ia juga hanya dibuka dari jam 3 petang hingga 11 malam. Tentulah ramai yang ingin kunjung ke acara ini kerana kebanyakan dari mereka hanya mempunyai masa lapang pada hari minggu sahaja. Dengan masa yang agak terhad, para pengunjung hanya mampu hadir pada masa yang tertentu dan inilah sebab mengapa ramai yang mengunjung pada hari yang sama.

Jika dibandingkan dengan acara sebelumnya iaitu Gastro Beats, acara Gastro Beats telah dianjurkan dari 3 hingga 26 March 2017. Ia dibuka dari pukul 5 petang hingga 11 malam pada hari Ahad hingga Khamis, dan 4 petang hingga 12 malam dari hari Jumaat hingga Sabtu. Mengadakan acara sebegini dengan jangka waktu yang lebih lama memberikan pelanggan lebih banyak masa dan peluang untuk menikmati suasana pasar malam hippy ini. Mereka juga tidak perlu tergesa-gesa dan rasa rimas dengan kesesakan orang ramai.

2. Lebihkan Aneka Jenis Makanan Halal

Acara ARTBOX sedikit lebih kurang sama seperti sebuah bazaar yang kerap diadakan di kawasan-kawasan perumahan Singapura – contohnya, pasar malam di MRT Woodlands, Choa Chu Kang, Tampines dan sebagainya. Ia juga bermakna lebih ramai pengunjung Melayu Islam yang akan turun dan hadirkan diri kerana tidak mahu terlepas peluang menyaksikan acara sebegini. Sungguh! perhatikan terdapat banyak gerai makanan halal yang tersedia tetapi kebanyakan daripada mereke menjual pencuci mulut dan minuman-minuman yang mengikut tren generasi muda seperti Thai Milk Tea dan Donut. Ada juga yang menjual hidangan makanan tetapi tidak menarik perhatian dan harganya juga agak ‘menyeramkan’. Sungguh! mengalu-alukan aneka jenis makanan yang berpatutan harganya dan mengikut citarasa ramai penduduk Singapura.

3. Harga Barangan Boleh Dikurangkan

IMG_6506

Kami mendapati kebanyakan gerai-gerai yang menjual barangan unik seperti beg ataupun bunga-bunga yang direka sendiri oleh penjual agak mahal harganya. Apakan tidak, barangan-barangan ini unik dan tidak boleh dicari di pusat membeli-belah. Akan tetapi, difahamkan konsep ARTBOX Bangkok adalah untuk menjual makanan dan barangan pada harga yang murah dan sedikit sebanyak berpatutan. Menjual barangan yang dengan harga yang muai akan membawa pelanggan untuk singgah dan berbelanja. Dengan itu, pemilik gerai juga akan dapatlah modal sikit dengan cara ini. You help me save, I help you earn mah….

4. Asingkan Gerai Makanan Halal dan Gerai Makanan Tidak Halal

Memandangkan acara ARTBOX ini telah mendapatkan perhatian begitu ramai pengunjung, sudah tentu barisan gerai-gerai makanan menjadi begitu mengelirukan dan menyebabkan para pelanggan tidak dapat melihat barisan-barisan gerai makanan dengan betul oleh kerana kesesakan yang payah untuk dijangkakan. Cara yang lebih baik adalah dengan memisahkan gerai-gerai makanan halal dari yang tidak halal supaya lebih mudah untuk para pengunjung membeli dan beratur di gerai yang betul. Ia akan menjadi lebih jelas bagi para pelanggan melihat gerai yang boleh mereka beli. Lagi pun… Kan tak ada sijil halal untuk pelanggan kenal pasti yang mana halal ya toyiban… Cara ini sedikit sebanyak kurang sikit kekeliruan.

5. Sediakan Tempat Duduk dan Kawasan Berehat

IMG_6579

Tempat duduk dan kawasan berehat amat penting buat acara sebegini. Ya memang betul, terdapat beberapa tempat berehat di sana tetapi dengan adanya ruang yang amat besar yang tidak digunakan, mungkin para pengajur boleh menyewa lokasi lapang bersebelahan supaya dapat meletakkan kerusi dan meja ala ala kerusi yang terdapat di East Coast – yang lebar dan ramai boleh mengongsi satu meja. Dengan cara ini, bukan sahaja pelanggan boleh berehat selepas penat berjalan tetapi ia juga dapat mengurangkan kesesakan.

6. Barisan Yang Lebih Teratur

IMG_6563

Bukan itu sahaja, Sungguh! juga mendapati setiap gerai ditempatkan agak rapat dengan gerai-gerai yang lain. Ini mengakibatkan barisan-barisan pelanggan bertembung. Kami syorkan para penganjur menyediakan papan tanda supaya lebih jelas bagi para pelanggan dan barisan lebih teratur buat pelanggan serta para penjual. Dengan cara ini, ia dapat mengurangkan kekeliruan dan meringankan tekanan pelanggan apabila ingin berbelanja.

7. Adakan Lebih Persembahan Berbilang Bangsa

Terdapat banyak persembahan yang berdasarkan Bahasa Inggeris dan Thailand. Memandangkan acara ini mendapat sambutan orang Singapura yang begitu hebat, Sungguh! menyarankan supaya ARTBOX mengadakan persembahan yang menyerlahkan keunikkan Singapura. Contohnya, Singapura dikenali sebagai negara yang berbilang bangsa. Jadi, apa salahnya jika persembahan-persembahan diadakan dalam Bahasa Melayu, Cina dan India? Ia akan menarik lebih ramai pengunjung ke sana!

Sungguh! harap acara seperti ARTBOX ini boleh diperbaiki dan dapat memberi faedah kepada masyarakat Singapura, tak kira lah usia dan bangsa. Lebih baik lagi jika acara ini dapat menjadi acara keluarga dan rakan-rakan menikmati masa bersama dengan aktiviti dan persembahan yang disediakan. Jadi, tunggu apa lagi? Singgalah ke ARTBOX hujung minggu ini supaya tak terlepas peluang menikmati suasana riuh-rendah di sini.

Bagi mereka yang ada sebarang saranan untuk pihak penganjur, anda juga boleh berkongsi pendapat anda di ruang komen yang tersedia. Jangan segan-segan sebab sama-sama kita dapat membantu acara sebegini dengan komen-komen yang membina. Akhir sekali, Sungguh! harap acara-acara sebegini dapat diadakan lebih kerap lagi dan dapatlah ia menyatukan masyarakat Singapura dari pelbagai kaum dan agama. Maklumlah, bukan selalu kita dapat tengok masyarakat Singapura bersatu macam ni. Ini satu peluang melihat penduduk Singapura berkumpul di satu tempat dengan minat yang sama.