DISEBALIK DUIT RAYA

by

Bila menjelang Hari Raya sahaja, antara perkara pertama yang semua orang akan fikirkan ialah duit Raya! Tak kiralah yang muda ke atau yang tua. Yang tua sibuk nak siapkan duit Raya untuk diberikan kepada kanak-kanak dan yang muda pula sibuk nak kumpulkan duit Raya.

Tapi sedang sibuk-sibuk memberi dan mengumpul duit Raya ni, adakah kita tahu apa makna disebalik duit Raya?

Duit Raya adalah sekadar pemberian ikhlas setahun sekali untuk menggembirakan kanak-kanak pada Hari Raya. Ia sekadar mengikut tradisi daripada orang-orang lama.

Dalam agama Islam, konsep memberi duit Raya adalah antara cara untuk kita bersedekah. Dengan memberi duit Raya, si pemberi akan mendapat ganjaran pahala iaitu pahala bersedekah, pahala mengeratkan silaturahim, pahala menggembirakan hati anak-anak, dan InshaAllah bermacam-macam pahala yang hanya Tuhan sahaja yang membalas.

Semua sudah bersiap-siap untuk mendapat pahala dengan memberi duit Raya, tetapi sudahkah kita mengajar anak-anak atau saudara-saudara kecil kita adab mendapat duit Raya?

Kadang-kala anak-anak ni yang tidak berapa tahu tentang cara menerima duit raya.. Ada yang hulur tangan bukan bertujuan untuk bersalaman tetapi ingin meminta duit Raya. Ayah dan Ibu pula yang rasa malu….

Ada pula bila sudah dapat duit Raya, anak-anak ini akan buka sampul mereka di hadapan tuan rumah. Nak marah depan tetamu dan pengunjung pula tak boleh jadi nak tutup air muka, Ayah dan Ibu hanya setakat ketawa dengan tidak kena gaya.

Kadang-kala, kita tidak boleh salahkan anak-anak atas kelakuan mereka kerana ramai ibu-bapa lupa untuk memberitahu anak-anak tentang ertinya menerima duit Raya. Anak-anak akan lebih peka bila mereka tahu tentang nilai-nilai yang yang berkaitan dengan menerima duit Raya.

Satu lagi, sebelum menerima duit Raya, mari kita ingatkan anak-anak bersalaman dahulu dengan orang tua atau pemberinya. Ini boleh dilihat dari dua sudut – bersalaman untuk mendapat duit raya dan sebagai antara cara untuk mengeratkan silaturahim.

Jikalau kita tidak tekankan nilai-nilai tersebut, anak-anak mungkin tidak akan memahami erti menerima duit Raya.  Mereka akan menganggap pemberian duit Raya, faktor utama untuk mereka mengunjungi saudara-mara. Kita juga boleh mengingatkan mereka tentang sifat rasa syukur tidak kira berapa jumlah duit yang mereka dapat, kerana ada kanak-kanak lain yang lebih memerlukan.

Screen Shot 2017-07-01 at 2.17.36 PM

Screen Shot 2017-07-03 at 9.23.45 AM

Selain daripada mengajar anak-anak pentingnya nilai bersalaman dan erti menerima duit Raya, kita juga boleh mengajar anak-anak faedah-faedah menerima duit Raya seperti menabung. Ada banyak kelebihan yang anak-anak boleh dapat daripada menabung. Dengan menabung, anak-anak akan dapat meningkatkan wang simpanan mereka, belajar berjimat-cermat untuk memberi mereka seakan persiapan jika terjadinya kecemasan dan lain-lain.

Jika anak-anak sudah faham erti makna menerima duit Raya, mungkin ibu bapa tidak perlu tahan malu lagi dengan karenah-karenah mereka. Dapatlah, semua menyambut Hari Raya ini dengan hati senang dengan menonjolkan sifat-sifat yang murni lagi terpuji!